The world is my playground

-



Mimpi

Assalamualaikum :)

Lama tak berkarya di sini. Berkarya? Maksud aku, bercerita. Ya, hidup sebagai seorang pelajar ipta, tak menentu. Nak kata busy tak juga, cuma masa tu sangat berharga. Sekarang, aku sekadar aktif di laman burung biru, Twitter. Selesa di sana.

Tweeting,
Tak berkesudahan..

Fikiran bergerak dan terus berlari, beredar meninggalkan diri, lebih pantas daripada peredaran masa. Entah ke mana diri ini hendak dibawa, aku turutkan saja. Bertemankan secawan air Milo panas dan sepaket biskut coklat, pandangan aku dilemparkan ke luar tingkap. Melihat hujan yang turun tak tergesa-gesa, mewujudkan suasana harmoni. Tenang. Nyaman.

Aku terus tenggelam dalam imaginasi...


HOI!

BERHENTI!

Ke mana diri ini ingin kau bawa, fikiran? Jangan hanyutkan aku dalam ruang fantasi dunia. Kembali, kembali kepada realiti kita. Di sini. Ruang imaginasi yang aku wujudkan dalam diri ini, hanya untuk eksplorasi kembara seni, dalam usaha untuk mencari jati diri dan personaliti. Berseorangan. Bukan untuk menyedapkan hati, membayangkan perkara yang  tak mungkin akan terjadi.

Terleka, dan terus berkhayal.

Aku terus berlegar dalam gelombang dunia yang aku ciptakan untuk diri sendiri. Tapi gelombang itu masih di sini, tak lari dari ruang atmosfera bumi. Masih berpaksi. Masih sihat dan waras. Dan atas sebab kewarasan itu juga tersingkap satu 'peti rahsia', tersimpan di dalamnya seribu satu perasaan. Perasaan yang mungkin tak akan terlerai dek kasta bahasa, mahupun terluah dek lisan bisu di atas kertas.

Emosi ini rumit. Tapi, kau tak boleh kaget untuk melawan. Kerana kau berhak untuk bergembira walau manusia di sekeliling seakan menghalang kau untuk bersuka ria. 

Macam aku.

Aku dikecam, diperli dan sentiasa ada yang iri. Tapi aku harus terus berdiri, tabahkan hati, menepis segala kata dusta si pendengki yang tak henti menabur benci. Apa salah aku? Apa yang aku peroleh hari ini adalah atas hasil usaha aku sendiri, dengan izin Allah. Kau mahu, kau usaha. Kau jangan lupa doa, jangan berlagak. Jaga hubungan dengan Allah dan jaga hubungan sesama manusia.

Itu apa yang ayah, mama dan pensyarah aku pesan.


Kawan,
Mungkin kita berkongsi matlamat yang sama, tapi dengan daya usaha yang berbeza. Barangkali kita punya hasrat yang sama, tapi dengan daya pemikiran yang berlainan.

Mari, kita seragamkan?






Ah, emosi ni betul-betul rumit. Kau jangan nak beremosi tengah-tengah malam macam ni. Masa untuk melelapkan mata. Minda dan jasad meronta-ronta, minta untuk direhatkan. Selamat tidur!



24.12.11 : 3.03am.